Japan

Friday, May 22, 2015

TOKYO MAY 2014 : HIJAU DI KAMAKURA



"Look deep into nature and then you will understand everything better." - Albert Einstein


Hari kedua di Tokyo.
Tsurugaoka Hachiman-gū, Kamakura
Bamboo Grove at Hokokuji Temple, Kamakura
Lunch at Arkadas
Enoshima

        Masih segar di ingatan saya bagaimana keadaan bilik penginapan kami di Hanamiya Ryokan. Pada mulanya saya dan Kak Yati agak terkejut kerana kami rasakan bilik itu agak sempit untuk kami. Mungkin saya sendiri terlupa untuk melihat maklumat tentang saiz bilik ketika hendak menempah penginapan. Hal ini saya jadikan panduan ketika menempah bilik kemudian apabila bercuti di dalam atau luar negara. 

        Tetapi, rasional yang kami fikirkan ialah kami tidak datang ke Tokyo untuk berehat-rehat di bilik. Kebanyakan masa kami adalah di luar dan kami hanya bermalam di sini untuk tiga malam sahaja. Jadi saya berpendapat bahawa bilik ini sesuai untuk mereka yang yang perlukan bilik yang ekonomi dan always on the go

        Saya masih ingat di subuh itu saya terjaga dan rasa nyaman pagi menyelinap. Terasa ringan dari komitmen seharian, walaupun perasaan ini hanya sementara kerana semestinya kami perlu pulang - back to reality. Masih lagi malas-malas untuk bangun kerana selesanya berada di katil ditemani tilam empuk dan diselimuti kesejukan dinihari, kami bertanya sesama sendiri pukul berapa kami perlu mulakan perjalanan hari itu. Masing-masing bersetuju untuk bergerak lebih awal kerana kami mahu melawati banyak tempat. 

        Hari kedua di Tokyo Misato telah membawa kami ke bandar Kamakura. Saya tiada idea langsung tentang Kamakura, di mana ia terletak dan apa yang menarik di situ. Walaupun saya sukakan surprised tetapi dalam hal kembara ini saya lebih suka untuk tahu lebih awal tentang sesuatu tempat yang hendak dilawati. Iyalah, mungkin kerana kembara kami ini secara ad hoc, tidak dirancang, justeru itu saya ikut sahaja ke mana  Misato membawa kami. Tetapi saya pasti yang  Misato tentunya ingin bawa kami ke tempat-tempat yang menarik. 



        Kami bernasib baik pada hari kedua kerana cuaca menyebelahi kami walaupun akhirnya disebelah petangnya awan tidak lagi mampu membendung air hujan. Dari Hanamiya Ryokan, kami berjalan kaki ke Hotel Sakura untuk bertemu mereka yang lain untuk bersarapan pagi. Sambil-sambil itu saya sempat memerhatikan keadaan sekeliling. blok-blok bangunan di kawasan itu tidak ubah seperti dalam anime Doraemon. Sederhana. Ramai yang telah keluar untuk menuju ke destinasi masing-masing. Menghantar anak ke sekolah, bergerak ke tempat kerja, memulakan urusan seharian mereka. 





"Not all who wander are lost." - J.R.R Tolkien

        Kami sama-sama turut serta dengan kesibukan pagi untuk menuju ke destinasi kami iaitu Kamakura. Destinasi pertama kami ialah Tsurugaoka Hachiman-gū. Untuk ke sana tidaklah susah kerana ianya berdekatan dengan Stesen Kamakura. Stesen Kamakura agak sibuk ketika kami tiba. Mungkin kerana stesen ini adalah stesen yang betul-betul terletak di tengah-tengah bandar Kamakura.
 

  Dari Stesen Kamakura, perjalanan ke Tsurugaoka Hachiman-gu mengambil masa kira-kira 10 - 15 minit dengan berjalan kaki.

 

Stesen Kamakura yang kelihatan agak tradisional.


 
        Di sepanjang jalan menuju ke Tsurugaoka Hachiman-gu terdapat deretan kedai-kedai menjual makanan juga cenderamata. Namun harga cenderamata di sini agak mahal jadi kami tidak membeli apa-apa di sini. Lagipun perjalanan kami masih awal dan fokus kami adalah untuk menuju ke destinasi kami.







"In every walk with nature, one receives far more than he seeks." - John Muir


Tsurugaoka Hachiman-gu merupakan kuil Shinto yang utama di Kamakura. Persekitarannya sangat luas, lapang dan bersih. Tamannya cantik dan terjaga dengan baik sekali.




        Untuk ke tingkat atas, kami perlu menaiki tangga. Sebelum ke atas, Misato mencadangkan agar saya meninggalkan sahaja stroller Elman di bawah. Saya agak risau takut-takut stroller itu akan hilang. Tetapi Misato memberi jaminan yang ianya akan selamat walaupun diletakkan di tempat yang terbuka. Sekembalinya kami ke tempat itu, stroller itu masih berada di situ, selamat. Saya merasa  kagum kerana kalau dalam keadaan yang sama di Malaysia tentunya stroller itu awal-awal lagi sudah hilang. Bukan sahaja stroller, malah kasut di masjid pun boleh hilang. 








 
        Ketika bersiar-siar di sekitar Tsurugaoka Hachiman-gu, saya ditegur oleh sekumpulan pelajar sekolah yang sedang menyertai school trip. Tugasan mereka adalah untuk cuba berkomukasi dengan pelancong dalam bahasa Inggeris sambil diperhatikan oleh guru mereka. Pada awalnya hanya seorang dua sahaja yang menegur saya, kemudiannya tanpa saya sedari semakin ramai pelajar yang mengerumuni saya. Terasa seperti bintang popular pula saya ketika itu. Hihi..

      
 
 
 
        Kemudian kami bergerak ke Hokokuji Temple. Sebenarnya, dari Tsurugaoka Hachiman-gū agak jauh untuk berjalan kaki ke Hokokuji Temple. Pada mulanya mungkin Misato merasakan ianya okay untuk hanya berjalan kaki, tetapi akhirnya dia memberitahu kami perlu juga mengambil bas kerana lokasi Hokokuji Temple masih jauh.


 Pintu masuk Hokoku-ji Temple.



Beli tiket dahulu sebelum masuk. 200 yen.





 
        Sepertimana yang saya katakan, saya tiada idea langsung tentang tempat-tempat menarik di Kamakura. Tetapi saya tidak menyesal langsung dibawa ke sini. Di Hokokuji Temple, terdapat sebuah taman pokok-pokok buluh. Pohon buluhnya tumbuh sebatang-sebatang tidak seperti di Malaysia yang selalunya buluh tumbuh serumpun. Pohonnya juga sangat besar dan tinggi.



          Melangkah masuk merentasi hutan buluh itu memberikan suatu perasaan yang berbeza seolah-olah kita melangkah masuk ke zaman yang lain. Sunyi. Damai. Kami masing-masing terpegun dengan keadaan sekeliling. Gema desiran pepohon buluh itu umpama membisikan bahasa alam. Selesai merentasi hutan buluh tersebut, kami masing-masing menzahirkan rasa kagum dengan tempat itu. Ianya adalah pengalaman yang sangat berbeza.


         Setelah meluangkan masa di Hokokuji Temple, kami kembali menuju ke Stesen Kamakura. Sebelum meneruskan perjalanan, kami berhenti makan tengahari di Restoran Arkadas. Sebenarnya waktu itu kami semua sangat lapar. Mungkin kerana kami banyak berjalan. Restoran ini sangat berdekatan dengan Stesen Kamakura.


Restoran Arkadas berada di tingkat atas.
 


            Restoran ini menyediakan hidangan masakan dari Turki. Ini merupakan pertama kali saya merasa masakan Turki. Saya sudah terlupa apakah hidangan yang saya pesan tetapi yang pasti kami semua waktu itu kami sangat berselera. Almaklumlah, masing-masing sudah kelaparan.







            Perjalanan kami untuk hari itu belum lagi selesai kerana kami masih ada satu lagi destinasi untuk dilawati iaitu Enoshima. Dari kamakura kami menaiki keretapi untuk ke sana. Enoshima merupkan pulau kecil yang dihubungkan dengan sebuah jambatan yang mempunyai pelbagai tempat menarik untuk dilawati. 



        Setibanya kami di sana, cuaca bertukar muram. Awan hitam kelihatan berat menanggung beban yang semakin sarat yang bakal turun mencurah bila-bila masa sahaja. Kami mempercepatkan langkah, merentasi jambatan untuk ke Enoshima. Tetapi rintik-rintik hujan telah bermula. Awan gelap kian menghampiri kami. 
 
 



 
            Hujan turun dengan lebat ketika kami tiba di taman bunga. Mujur kami sempat menjumpai tempat untuk berteduh. Hujan yang turun tidaklah lama, tetapi mampu membuatkan kami kebasahan akibat tempiasnya. Dalam rintik-rintik hujan yang semakin reda, kami mula berjalan di sekitar taman bunga tersebut. Cantiknya bunga-bunga di sekitar taman bunga itu.


Enoshima Samuel Cocking Garden.
Hours : 9:00 to 18:00 (until 17:00 in winter and 20:00 in summer)
No closing days
Admission fees : 200 yen (garden), 500 yen (garden and observation tower)









 
            Apa yang menarik perhatian saya ialah bunga  mawar merah yang saiznya sangat besar, yang tidak pernah saya jumpa. Saiznya hampir sama dengan dua tapak tangan. Kelopaknya kelihatan sangat tebal. Terasa seperti berada di dalam cerita dongeng Alice In Wonderland pula. Malangnya bunga-bunga mawar yang kembang menguntum itu tidak boleh disentuh kerana ianya dikelilingi pagar. Sungguh baik sekali ianya dijaga.






















Pemandangan dari Sea Candle Observation Tower.
 
        Kami luangkan masa di Enoshima sehingga lewat petang sebelum kami melangkah pulang. Aduh, terasa sengal-sengal kaki dan pinggang akibat seharian berjalan. Sungguhpun begitu, kami semua berpuas hati dengan pengalaman yang kami perolehi pada hari kedua di Tokyo. Tinggal hanya dua hari sahaja lagi sebelum kami pulang ke Malaysia. Sisa dua hari yang masih tinggal tidak kami sia-siakan untuk teruskan kembara kami di negara matahari terbit ini.
































Thursday, May 7, 2015

TOKYO MAY 2014 : HUJAN DI ASAKUSA



Tidak, di atas bukanlah Statue of Liberty di New York, tetapi ianya adalah replika Statue of Liberty di Odaiba, Tokyo. Dan jambatan yang merentanginya di belakang itu adalah Rainbow Bridge. Gambar ini saya rakam ketika pertama kali saya ke Tokyo atau dengan lebih tepat lagi pertama kali menjejakkan kaki di negara matahari terbit itu. Saya bukanlah jurugambar profesional tetapi gambar tersebut sudah cukup untuk buat saya rasa bangga dengan kemahiran photografi saya. Alaa.. kasilah peluang untuk saya puji diri sendiri sikit 😆 

        Untuk pengetahuan semua, catatan blog ini adalah untuk merakam kembali kembara saya ke Tokyo pada Mei tahun lepas. Pada ketika itu saya belum lagi bercadang untuk mempunyai blog. Saya rasa agak menyesal kerana tidak membuat apa-apa catatan tentang perjalanan saya di sana. Jadi semuanya adalah berdasarkan gambar-gambar dan ingatan saya ketika berada di sana. Namun begitu saya berharap dengan catatan di blog ini, ianya dapat terus menyimpan memori dan sempena meraikan momen-momen saya di sana.

       Boleh dikatakan yang kembara saya ke Tokyo pada tahun 2014 ini adalah tidak dirancang. Kak Yati (kakak ipar saya) tiba-tiba mengajak saya ke sana kerana dia dan adiknya Midah menerima pelawaan kenalan mereka yang tinggal di Tokyo. Terus-terang saya sungguh teruja dan tanpa berfikir panjang saya terus bersetuju. Jika kalian pernah menonton filem Hollywood yang berjudul YES yang dibintangi oleh Jim Carrey, begitulah keadaan saya waktu itu. Yes untuk kembara ke Tokyo dengan senyum lebar dan hati berbunga-bunga.

        Tanpa membuang masa kami terus menempah tiket penerbangan kami. Sudah tentu anak saya turut serta. Ini adalah pengalaman berharga untuk dia juga kerana pada usia 2 tahun dia dapat menjejakkan kaki ke Tokyo walaupun sudah tentu dia tidak dapat mengingatinya kerana dia terlalu kecil. Tidak mengapalah Elman, suatu hari nanti apabila Elman sudah dewasa Elman bawalah Mommy ke sana pula ya sayang.. 😘

        Selain dari saya, Elman, Kak Yati dan Midah, seorang lagi yang bersama kami adalah sepupu mereka yang kami panggil Noni. Kelima-lima kami tidak pernah ke Tokyo. Jadi, kesemuanya tiada pengalaman mengembara di sana. Mujurlah ada kenalan iaitu Misato. Misato menjadi kenalan kami ketika dia datang ke Malaysia untuk suatu program. Saya pun sudah lupa apa nama program tersebut tetapi Misato tinggal agak lama di Malaysia sehinggakan dia boleh bertutur dalam Bahasa Melayu sedikit-sedikit. Dia pernah datang ke rumah saya semasa Hari Raya Aidilfitri. Bukan main lagi saya berbahasa Inggeris dengan dia, rupa-rupanya dia boleh bercakap Bahasa Melayu.

        Baiklah, disebabkan kembara ini tidak dirancang, jadi saya tidak sempat menyediakan itinerari. Saya tidak berapa risau kerana Kak Yati memberitahu Misato yang akan membawa kami berjalan-jalan di sana. Kami ke sana tidak lama. Hanya empat hari berada di Tokyo kerana masing-masing mempunyai komitmen kerja (ataupun sebenarnya bajet kami terhad, hehe). Ternyata empat hari itu tidak cukup. Buktinya ialah, pada tahun yang sama saya kembali ke Jepun sewaktu musim luruh di sana. Saya akan ceritakannya nanti ya. Pasti.


 KLIA2
Tipulah kalau saya kata saya tidak berdebar. Tentulah banyak perkara yang saya fikirkan terutamanya perjalanan jauh menaiki kapal terbang. Walaupun begitu masing-masing tidak lari daripada menzahirkan rasa teruja. Hari kami bermula sangat awal di mana di awal pagi lagi kami menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar ke KLIA2. Kami memilih penerbangan Air Asia dari KLIA2 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo. Syukur alhamdulillah kami selamat tiba.


Haneda International Airport, Tokyo.
 
Saya tidak ingat pukul berapa kami tiba di Haneda, tetapi waktu itu sudah agak malam. Kami agak keletihan setelah tiba di sana. Mana tidaknya, dari Kedah ke Kuala Lumpur dan seterusnya ke Tokyo. Ianya adalah hari yang sangat panjang untuk kami lalui. Saya pasti Elman juga turut keletihan walaupun dia dapat berehat di atas strollernya. Stroller ini saya beli sempena untuk ke Tokyo memandangkan stroller yang sedia ada iaitu Quinny Zapp itu sangatlah berat dan tidak praktikal untuk kembara terutamanya apabila perjalanan secara backpacking. Oh ya, stroller Anakku ini harganya tidak sampai RM200 pun. Tetapi saya amat berpuas hati. Ianya sangat ringan, mudah untuk dikendalikan, tahan lasak dan sangat sesuai untuk kembara secara backpacking.


Dalam perjalanan dari lapangan terbang Haneda ke Ikebukuro di mana kami tinggal. Ruzaini dan Midah bermalam di Hotel Sakura manakala saya telah menempah penginapan di Hanamiya Ryokan yang terletak tidak jauh dari Hotel Sakura. Hanya 5 minit berjalan kaki di antara dua hotel tersebut. Untuk ke sana, Misato telah menantikan kami tiba di lapangan terbang. Jadi, kami tidaklah seperti orang sesat.

Stesyen keretapi terdekat untuk ke dua-dua hotel adalah Stesyen Ikebukuro. Ianya hanya mengambil masa lebih kurang 10-15 minit berjalan kaki. Tetapi kalau berjalan lenggang-lenggang kangkung itu sudah tentu akan mengambil masa yang lebih lama. Oh, tentu tidak kalau berjalan dengan Misato. Dia berjalan sungguh laju. Sama dengan Tokyoite yang lain. Kami turut mengatur langkah yang pantas seiring dengan Misato. Mulalah saya terfikir, kalaulah saya berada di sini untuk seminggu dua, tentu berat badan saya akan turun. Kalau saya berada di sini lebih lama, tentu saya berjaya mendapatkan berat badan yang ideal dek kerana hari-hari berjalan jauh dan berjalan laju. 

 
Hari Pertama
1. Asakusa
2. Shinagawa Aquarium 
3. Shinagawa Kumin Park
4. Makan malam di Restoran Malaychan

Apa agaknya dalam fikiran Elman. Kita di mana..? Kita hendak ke mana?


Misato sedang menunjukkan cara membeli kad pra-bayar untuk menaiki keretapi.

Pengangkutan keretapi di sini sangat efisyen seperti yang semua ketahui dan kita tidak perlu menunggu lama untuk keretapi seterusnya. Cuma, ketika waktu puncak kita perlu berhimpit-himpit kerana sesak dengan orang awam yang dalam perjalanan ke tempat kerja atau pulang dari kerja. Tetapi saya rasa itu adalah pengalaman yang menyeronokkan kerana di Malaysia sendiri saya sudah tidak lama menaiki keretapi. Mana tidaknya, di Kedah tiada LRT.

Hari pertama kami di sana, cuaca tidak menyebelahi kami. Hujan turun dengan lebat. Walaupun begitu, hujan yang lebat tidak menghalang kami untuk meneruskan perjalanan. Iyalah, kami sudah datang dari jauh, beribu-ribu batu, takkan kami hanya ingin duduk di hotel saja menunggu hujan yang belum pasti reda.

Destinasi pertama kami ialah Asakusa. 

Kaminari Gate (first gate), Hozomon Gate (second gate) to Sensoji Temple.
Hours :Main hall  0600H - 1700H, Temple Ground is always open.
No closing days.
Fees   :  Free
website : www.japan-guide.com


Namikase Shopping Street
Walaupun hujan, tempat ini tetap dipenuhi dengan pelancong dan juga masyarakat tempatan.


Namikase Shopping Street
Ramai. 

Hozomon Gate
Hujan-hujan pun kami masih gigih ambil gambar.


  Namikase Street

 

Disebabkan hujan yang lebat masih tidak mahu reda, saya memberi cadangan agar kami pergi ke tempat saya tertutup seperti pusat akuarium. Jadi Misato membawa kami ke Shinagawa Aquarium. Idea bernas bukan? Sudah tentu kami dapat berteduh dari hujan.






Menonton persembahan ikan lumba-lumba setelah hujan reda.
 

Mungkin ini tiga ekor penguin yang terlepas dari Madagascar?😆

Saya selalu membayangkan ada jerung ganas yang muncul. Jerung itu ada tetapi tidaklah ganas sepertimana yang digambarkan dalam filem Jaws.









Setelah hujan reda, kami berjalan-jalan di sekitar Shinagawa Kumin Park.












Bila hari hampir malam iaitu lebih kurang pukul 6 petang, kami kembali ke Ikebukuro. Di Ikebukuro terdapat sebuah restoran halal iaitu Malaychan Restaurant. Jadi, kami berpeluang untuk makan malam di situ.
 





Cepatlah order, dah lapar sangat ni..


Misato sangat pandai mengambil hati kanak-kanak. Elman cepat mesra dengan Misato. Elman lebih suka berjalan-jalan bersama Misato dari Mommynya sendiri... 😝


Bergambar di hadapan Malaychan Restaurant bersama pelajar dari Malaysia  yang bekerja sambilan di situ. 



Begitulah berakhirnya hari pertama kami di Tokyo. Walaupun hujan hampir separuh hari, walaupun kebasahan dek tempias hujan, kami tetap gembira. Dan tentunya kami lebih gembira untuk melalui hari esok.