Japan

Friday, May 1, 2015

SENJAKALA


Ada sesuatu yang istimewa setiap kali dapat memandang langit senja tatkala matahari terbenam, apabila hari melabuhkan tirainya. Ianya seolah-olah simbolik kepada berakhirnya satu lagi hari dalam hidup kita. 

Saya memilih untuk berkongsi rasa ini sebagai post saya yang pertama untuk blog saya ini. Terimalah...

Pantai Kok, Langkawi. Anak saya seronok bermain di gigi air, sementara kami menantikan matahari terbenam.          
 
 
 
Melihat langit senja yang dihiasi warna merah keemasan memberikan saya satu perasan tenang, umpama alam sedang membisikkan kepada saya, "Jangan risau.. kamu sudah lakukan yang terbaik dalam hidupmu hari ini. Matahari terbenam yang cantik hari ini adalah hadiah untuk kamu kerana kamu berjaya mengharungi satu lagi episod dalam hidup kamu. Nikmatilah senjakala ini.."
 
Seringkali apabila  pulang dari kerja, saya melewati waktu senja dan adakalanya saya tidak boleh lari daripada memandang langit yang sedang membuat persembahan hebatnya. Magis. Sempurna. Beberapakali  saya ingin memberhentikan kereta, ingin merakam momen senjakala itu ke dalam galeri gambar telefon bimbit saya, tetapi keadaan jalan yang sibuk dan tidak sesuai untuk berhenti membuatkan saya terpaksa membatalkan hasrat saya. Namun, dapat memandangnya sudah cukup untuk buat saya rasa beruntung.
 


St. Kilda, Melbourne - 2013. Cahaya keemasan ini terlihat seperti lava dari gunung berapi, kan? Momen ini saya rakamkan ketika pertama kali saya ke Melbourne bersama anak saya. Ketika itu Elman baru berumur setahun. Walaupun dia masih belum mengerti apa-apa waktu itu, tetapi saya pasti suatu hari nanti apabila dia melihat kembali gambar ini, dia akan tersenyum, kerana ini adalah salah satu momen dia bersama saya.


Pantai Tengah, Langkawi. Aktiviti parasailing ini sangat terkenal di Langkawi. Saya hanya mampu menjadi penonton kerana saya memang tidak berani untuk mencuba aktiviti ini. Kali pertama (dan terakhir) saya membuat aksi ini ialah 4 tahun lepas. Tetapi, lihat di sana, matahari sedang mengundur diri. Tentu orang di atas sana seronok menikmati pemandangan ini.



Pantai Tengah, Langkawi. Pemandangan sebegini sudah tentu dapat melepaskan rasa resah di hati. Sungguh indah, cukup untuk kita lupakan apa yang meruntun fikiran kita walaupun ianya hanya sebentar.


Pantai Tengah, Langkawi. Lukisan alam. Sempurna kerana ianya dari Tuhan.


Pantai Tengah, Langkawi. Meraka yang datang ke sini pasti tidak akan terlepas daripada turut serta merakamkan momen-momen hari melabuhkan tirainya.


Jika beruntung, di hadapan rumah pun dapat menyaksikan matahari terbenam. Lihat, pokok itu seolah-olah memancarkan cahaya.


Ini adalah salah satu gambar yang berjaya saya rakam ketika pulang dari tempat kerja. Sangat memukau dan mengasyikan. Terima kasih Tuhan untuk hari yang indah.


MasyaAllah, terlalu cantik. tidak perlu diperkatakan lagi. Hanya nikmati sahaja. Rasa magis ini bukan hanya pada mata yang memandang tetapi hati turut merasakannya.


Ini adalah di kawasan kampung saya. Kampung saya dikelilingi dengan sawah padi. Dari kejauhan rona langit senja kelihatan sungguh indah.


Kadang-kadang matahari terbenam juga nampak garang, setuju tak?



Saya akan selalu dan terus menghargai perasaan ini. Perasaan tatkala menyaksikan matahari terbenam. Perasaan yang belum tentu kita dapatkan kongsikan dengan orang lain. Perasaan seolah-olah saya dengan rela melepaskan sesuatu itu pergi walaupun saya sayang akannya.
 
Salam senja.























1 comment: