"Look deep into nature and then you will understand everything better." - Albert Einstein
Hari kedua di Tokyo.
Tsurugaoka Hachiman-gū, Kamakura
Bamboo Grove at Hokokuji Temple, Kamakura
Lunch at Arkadas
Enoshima
Masih segar di ingatan saya bagaimana keadaan bilik penginapan kami di Hanamiya Ryokan. Pada mulanya saya dan Kak Yati agak terkejut kerana kami rasakan bilik itu agak sempit untuk kami. Mungkin saya sendiri terlupa untuk melihat maklumat tentang saiz bilik ketika hendak menempah penginapan. Hal ini saya jadikan panduan ketika menempah bilik kemudian apabila bercuti di dalam atau luar negara.
Tetapi, rasional yang kami fikirkan ialah kami tidak datang ke Tokyo untuk berehat-rehat di bilik. Kebanyakan masa kami adalah di luar dan kami hanya bermalam di sini untuk tiga malam sahaja. Jadi saya berpendapat bahawa bilik ini sesuai untuk mereka yang yang perlukan bilik yang ekonomi dan always on the go.
Saya masih ingat di subuh itu saya terjaga dan rasa nyaman pagi menyelinap. Terasa ringan dari komitmen seharian, walaupun perasaan ini hanya sementara kerana semestinya kami perlu pulang - back to reality. Masih lagi malas-malas untuk bangun kerana selesanya berada di katil ditemani tilam empuk dan diselimuti kesejukan dinihari, kami bertanya sesama sendiri pukul berapa kami perlu mulakan perjalanan hari itu. Masing-masing bersetuju untuk bergerak lebih awal kerana kami mahu melawati banyak tempat.
Hari kedua di Tokyo Misato telah membawa kami ke bandar Kamakura. Saya tiada idea langsung tentang Kamakura, di mana ia terletak dan apa yang menarik di situ. Walaupun saya sukakan surprised tetapi dalam hal kembara ini saya lebih suka untuk tahu lebih awal tentang sesuatu tempat yang hendak dilawati. Iyalah, mungkin kerana kembara kami ini secara ad hoc, tidak dirancang, justeru itu saya ikut sahaja ke mana Misato membawa kami. Tetapi saya pasti yang Misato tentunya ingin bawa kami ke tempat-tempat yang menarik.
Kami bernasib baik pada hari kedua kerana cuaca menyebelahi kami walaupun akhirnya disebelah petangnya awan tidak lagi mampu membendung air hujan. Dari Hanamiya Ryokan, kami berjalan kaki ke Hotel Sakura untuk bertemu mereka yang lain untuk bersarapan pagi. Sambil-sambil itu saya sempat memerhatikan keadaan sekeliling. blok-blok bangunan di kawasan itu tidak ubah seperti dalam anime Doraemon. Sederhana. Ramai yang telah keluar untuk menuju ke destinasi masing-masing. Menghantar anak ke sekolah, bergerak ke tempat kerja, memulakan urusan seharian mereka.
"Not all who wander are lost." - J.R.R Tolkien
Kami sama-sama turut serta dengan kesibukan pagi untuk menuju ke destinasi kami iaitu Kamakura. Destinasi pertama kami ialah Tsurugaoka Hachiman-gū. Untuk ke sana tidaklah susah kerana ianya berdekatan dengan Stesen Kamakura. Stesen Kamakura agak sibuk ketika kami tiba. Mungkin kerana stesen ini adalah stesen yang betul-betul terletak di tengah-tengah bandar Kamakura.
Dari Stesen Kamakura, perjalanan ke Tsurugaoka Hachiman-gu mengambil masa kira-kira 10 - 15 minit dengan berjalan kaki.
Stesen Kamakura yang kelihatan agak tradisional.
Di sepanjang jalan menuju ke Tsurugaoka Hachiman-gu terdapat deretan kedai-kedai menjual makanan juga cenderamata. Namun harga cenderamata di sini agak mahal jadi kami tidak membeli apa-apa di sini. Lagipun perjalanan kami masih awal dan fokus kami adalah untuk menuju ke destinasi kami.
"In every walk with nature, one receives far more than he seeks." - John Muir
Tsurugaoka Hachiman-gu merupakan kuil Shinto yang utama di Kamakura. Persekitarannya sangat luas, lapang dan bersih. Tamannya cantik dan terjaga dengan baik sekali.
Untuk ke tingkat atas, kami perlu menaiki tangga. Sebelum ke atas, Misato mencadangkan agar saya meninggalkan sahaja stroller Elman di bawah. Saya agak risau takut-takut stroller itu akan hilang. Tetapi Misato memberi jaminan yang ianya akan selamat walaupun diletakkan di tempat yang terbuka. Sekembalinya kami ke tempat itu, stroller itu masih berada di situ, selamat. Saya merasa kagum kerana kalau dalam keadaan yang sama di Malaysia tentunya stroller itu awal-awal lagi sudah hilang. Bukan sahaja stroller, malah kasut di masjid pun boleh hilang.
Ketika bersiar-siar di sekitar Tsurugaoka Hachiman-gu, saya ditegur oleh sekumpulan pelajar sekolah yang sedang menyertai school trip. Tugasan mereka adalah untuk cuba berkomukasi dengan pelancong dalam bahasa Inggeris sambil diperhatikan oleh guru mereka. Pada awalnya hanya seorang dua sahaja yang menegur saya, kemudiannya tanpa saya sedari semakin ramai pelajar yang mengerumuni saya. Terasa seperti bintang popular pula saya ketika itu. Hihi..
Kemudian kami bergerak ke Hokokuji Temple. Sebenarnya, dari Tsurugaoka
Hachiman-gū agak jauh untuk berjalan kaki ke Hokokuji Temple. Pada
mulanya mungkin Misato merasakan ianya okay untuk hanya berjalan kaki,
tetapi akhirnya dia memberitahu kami perlu juga mengambil bas kerana
lokasi Hokokuji Temple masih jauh.
Pintu masuk Hokoku-ji Temple.
Beli tiket dahulu sebelum masuk. 200 yen.
Sepertimana yang saya katakan, saya tiada idea langsung tentang tempat-tempat menarik di Kamakura. Tetapi saya tidak menyesal langsung dibawa ke sini. Di Hokokuji Temple, terdapat sebuah taman pokok-pokok buluh. Pohon buluhnya tumbuh sebatang-sebatang tidak seperti di Malaysia yang selalunya buluh tumbuh serumpun. Pohonnya juga sangat besar dan tinggi.
Melangkah masuk merentasi hutan buluh itu memberikan suatu perasaan yang berbeza seolah-olah kita melangkah masuk ke zaman yang lain. Sunyi. Damai. Kami masing-masing terpegun dengan keadaan sekeliling. Gema desiran pepohon buluh itu umpama membisikan bahasa alam. Selesai merentasi hutan buluh tersebut, kami masing-masing menzahirkan rasa kagum dengan tempat itu. Ianya adalah pengalaman yang sangat berbeza.
Setelah meluangkan masa di Hokokuji Temple, kami kembali menuju ke Stesen Kamakura. Sebelum meneruskan perjalanan, kami berhenti makan tengahari di Restoran Arkadas. Sebenarnya waktu itu kami semua sangat lapar. Mungkin kerana kami banyak berjalan. Restoran ini sangat berdekatan dengan Stesen Kamakura.
Restoran Arkadas berada di tingkat atas.
Restoran ini menyediakan hidangan masakan dari Turki. Ini merupakan pertama kali saya merasa masakan Turki. Saya sudah terlupa apakah hidangan yang saya pesan tetapi yang pasti kami semua waktu itu kami sangat berselera. Almaklumlah, masing-masing sudah kelaparan.
Setibanya kami di sana, cuaca bertukar muram. Awan hitam kelihatan berat menanggung beban yang semakin sarat yang bakal turun mencurah bila-bila masa sahaja. Kami mempercepatkan langkah, merentasi jambatan untuk ke Enoshima. Tetapi rintik-rintik hujan telah bermula. Awan gelap kian menghampiri kami.
Hujan turun dengan lebat ketika kami tiba di taman bunga. Mujur kami sempat menjumpai tempat untuk berteduh. Hujan yang turun tidaklah lama, tetapi mampu membuatkan kami kebasahan akibat tempiasnya. Dalam rintik-rintik hujan yang semakin reda, kami mula berjalan di sekitar taman bunga tersebut. Cantiknya bunga-bunga di sekitar taman bunga itu.
Enoshima Samuel Cocking Garden.
Hours : 9:00 to 18:00 (until 17:00 in winter and 20:00 in summer)
No closing days
Admission fees : 200 yen (garden), 500 yen (garden and observation tower)
Apa yang menarik perhatian saya ialah bunga mawar merah yang saiznya sangat besar, yang tidak pernah saya jumpa. Saiznya hampir sama dengan dua tapak tangan. Kelopaknya kelihatan sangat tebal. Terasa seperti berada di dalam cerita dongeng Alice In Wonderland pula. Malangnya bunga-bunga mawar yang kembang menguntum itu tidak boleh disentuh kerana ianya dikelilingi pagar. Sungguh baik sekali ianya dijaga.
Pemandangan dari Sea Candle Observation Tower.
Kami luangkan masa di Enoshima sehingga lewat petang sebelum kami melangkah pulang. Aduh, terasa sengal-sengal kaki dan pinggang akibat seharian berjalan. Sungguhpun begitu, kami semua berpuas hati dengan pengalaman yang kami perolehi pada hari kedua di Tokyo. Tinggal hanya dua hari sahaja lagi sebelum kami pulang ke Malaysia. Sisa dua hari yang masih tinggal tidak kami sia-siakan untuk teruskan kembara kami di negara matahari terbit ini.
No comments:
Post a Comment