Tidak, di atas bukanlah Statue
of Liberty di New York, tetapi ianya adalah replika Statue of Liberty di
Odaiba, Tokyo. Dan jambatan yang merentanginya di belakang itu adalah Rainbow
Bridge. Gambar ini saya rakam ketika pertama kali saya ke Tokyo atau dengan
lebih tepat lagi pertama kali menjejakkan kaki di negara matahari terbit itu. Saya
bukanlah jurugambar profesional tetapi gambar tersebut sudah cukup untuk buat
saya rasa bangga dengan kemahiran photografi saya. Alaa.. kasilah peluang untuk saya
puji diri sendiri sikit 😆
Untuk pengetahuan semua,
catatan blog ini adalah untuk merakam kembali kembara saya ke Tokyo pada Mei
tahun lepas. Pada ketika itu saya belum lagi bercadang untuk mempunyai blog. Saya
rasa agak menyesal kerana tidak membuat apa-apa catatan tentang perjalanan saya
di sana. Jadi semuanya adalah berdasarkan gambar-gambar dan ingatan saya ketika
berada di sana. Namun begitu saya berharap dengan catatan di blog ini, ianya dapat
terus menyimpan memori dan sempena meraikan momen-momen saya di sana.
Boleh dikatakan yang
kembara saya ke Tokyo pada tahun 2014 ini adalah tidak dirancang. Kak Yati
(kakak ipar saya) tiba-tiba mengajak saya ke sana kerana dia dan adiknya Midah
menerima pelawaan kenalan mereka yang tinggal di Tokyo. Terus-terang saya sungguh
teruja dan tanpa berfikir panjang saya terus bersetuju. Jika kalian pernah menonton filem Hollywood yang berjudul YES yang dibintangi oleh Jim Carrey, begitulah keadaan saya waktu itu. Yes untuk kembara ke Tokyo dengan senyum lebar dan hati berbunga-bunga.
Tanpa membuang masa kami terus
menempah tiket penerbangan kami. Sudah tentu anak saya turut serta. Ini adalah
pengalaman berharga untuk dia juga kerana pada usia 2 tahun dia dapat
menjejakkan kaki ke Tokyo walaupun sudah tentu dia tidak dapat mengingatinya
kerana dia terlalu kecil. Tidak mengapalah Elman, suatu hari nanti apabila Elman
sudah dewasa Elman bawalah Mommy ke sana pula ya sayang.. 😘
Selain dari saya, Elman, Kak
Yati dan Midah, seorang lagi yang bersama kami adalah sepupu mereka yang kami
panggil Noni. Kelima-lima kami tidak pernah ke Tokyo. Jadi, kesemuanya tiada
pengalaman mengembara di sana. Mujurlah ada kenalan iaitu Misato.
Misato menjadi kenalan kami ketika dia datang ke Malaysia untuk suatu program. Saya
pun sudah lupa apa nama program tersebut tetapi Misato tinggal agak lama di
Malaysia sehinggakan dia boleh bertutur dalam Bahasa Melayu sedikit-sedikit.
Dia pernah datang ke rumah saya semasa Hari Raya Aidilfitri. Bukan main lagi
saya berbahasa Inggeris dengan dia, rupa-rupanya dia boleh bercakap Bahasa Melayu.
Baiklah, disebabkan kembara
ini tidak dirancang, jadi saya tidak sempat menyediakan itinerari. Saya tidak
berapa risau kerana Kak Yati memberitahu Misato yang akan membawa kami
berjalan-jalan di sana. Kami ke sana tidak lama. Hanya empat hari berada di
Tokyo kerana masing-masing mempunyai komitmen kerja (ataupun sebenarnya bajet
kami terhad, hehe). Ternyata empat hari itu tidak cukup. Buktinya ialah, pada
tahun yang sama saya kembali ke Jepun sewaktu musim luruh di sana. Saya akan
ceritakannya nanti ya. Pasti.
KLIA2
Tipulah kalau saya kata saya tidak berdebar. Tentulah banyak perkara yang saya fikirkan terutamanya perjalanan jauh menaiki kapal terbang. Walaupun begitu masing-masing tidak lari daripada menzahirkan rasa teruja. Hari kami bermula sangat awal di mana di awal pagi lagi kami menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar ke KLIA2. Kami memilih penerbangan Air Asia dari KLIA2 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo. Syukur alhamdulillah kami selamat tiba.
Haneda International Airport, Tokyo.
Saya tidak ingat pukul berapa kami tiba di Haneda, tetapi waktu itu sudah agak malam. Kami agak keletihan setelah tiba di sana. Mana tidaknya, dari Kedah ke Kuala Lumpur dan seterusnya ke Tokyo. Ianya adalah hari yang sangat panjang untuk kami lalui. Saya pasti Elman juga turut keletihan walaupun dia dapat berehat di atas strollernya. Stroller ini saya beli sempena untuk ke Tokyo memandangkan stroller yang sedia ada iaitu Quinny Zapp itu sangatlah berat dan tidak praktikal untuk kembara terutamanya apabila perjalanan secara backpacking. Oh ya, stroller Anakku ini harganya tidak sampai RM200 pun. Tetapi saya amat berpuas hati. Ianya sangat ringan, mudah untuk dikendalikan, tahan lasak dan sangat sesuai untuk kembara secara backpacking.
Dalam perjalanan dari lapangan terbang Haneda ke Ikebukuro di mana kami tinggal. Ruzaini dan Midah bermalam di Hotel Sakura manakala saya telah menempah penginapan di Hanamiya Ryokan yang terletak tidak jauh dari Hotel Sakura. Hanya 5 minit berjalan kaki di antara dua hotel tersebut. Untuk ke sana, Misato telah menantikan kami tiba di lapangan terbang. Jadi, kami tidaklah seperti orang sesat.
Stesyen keretapi terdekat untuk ke dua-dua hotel adalah Stesyen Ikebukuro. Ianya hanya mengambil masa lebih kurang 10-15 minit berjalan kaki. Tetapi kalau berjalan lenggang-lenggang kangkung itu sudah tentu akan mengambil masa yang lebih lama. Oh, tentu tidak kalau berjalan dengan Misato. Dia berjalan sungguh laju. Sama dengan Tokyoite yang lain. Kami turut mengatur langkah yang pantas seiring dengan Misato. Mulalah saya terfikir, kalaulah saya berada di sini untuk seminggu dua, tentu berat badan saya akan turun. Kalau saya berada di sini lebih lama, tentu saya berjaya mendapatkan berat badan yang ideal dek kerana hari-hari berjalan jauh dan berjalan laju.
Hari Pertama
1. Asakusa
2. Shinagawa Aquarium
3. Shinagawa Kumin Park
4. Makan malam di Restoran Malaychan
Apa agaknya dalam fikiran Elman. Kita di mana..? Kita hendak ke mana?
Misato sedang menunjukkan cara membeli kad pra-bayar untuk menaiki keretapi.
Pengangkutan keretapi di sini sangat efisyen seperti yang semua ketahui dan kita tidak perlu menunggu lama untuk keretapi seterusnya. Cuma, ketika waktu puncak kita perlu berhimpit-himpit kerana sesak dengan orang awam yang dalam perjalanan ke tempat kerja atau pulang dari kerja. Tetapi saya rasa itu adalah pengalaman yang menyeronokkan kerana di Malaysia sendiri saya sudah tidak lama menaiki keretapi. Mana tidaknya, di Kedah tiada LRT.
Hari pertama kami di sana, cuaca tidak menyebelahi kami. Hujan turun dengan lebat. Walaupun begitu, hujan yang lebat tidak menghalang kami untuk meneruskan perjalanan. Iyalah, kami sudah datang dari jauh, beribu-ribu batu, takkan kami hanya ingin duduk di hotel saja menunggu hujan yang belum pasti reda.
Destinasi pertama kami ialah Asakusa.
Kaminari Gate (first gate), Hozomon Gate (second gate) to Sensoji Temple.
Hours :Main hall 0600H - 1700H, Temple Ground is always open.
No closing days.
Fees : Free
website :
www.japan-guide.com
Namikase Shopping Street
Walaupun hujan, tempat ini tetap dipenuhi dengan pelancong dan juga masyarakat tempatan.
Namikase Shopping Street
Ramai.
Hozomon Gate
Hujan-hujan pun kami masih gigih ambil gambar.
Namikase Street
Disebabkan hujan yang lebat masih tidak mahu reda, saya memberi cadangan agar kami pergi ke tempat saya tertutup seperti pusat akuarium. Jadi Misato membawa kami ke Shinagawa Aquarium. Idea bernas bukan? Sudah tentu kami dapat berteduh dari hujan.
Menonton persembahan ikan lumba-lumba setelah hujan reda.
Mungkin ini tiga ekor penguin yang terlepas dari Madagascar?😆
Saya selalu membayangkan ada jerung ganas yang muncul. Jerung itu ada tetapi tidaklah ganas sepertimana yang digambarkan dalam filem Jaws.
Setelah hujan reda, kami berjalan-jalan di sekitar Shinagawa Kumin Park.
Bila hari hampir malam iaitu lebih kurang pukul 6 petang, kami kembali ke Ikebukuro. Di Ikebukuro terdapat sebuah restoran halal iaitu Malaychan Restaurant. Jadi, kami berpeluang untuk makan malam di situ.
Cepatlah order, dah lapar sangat ni..
Misato sangat pandai mengambil hati kanak-kanak. Elman cepat mesra dengan Misato. Elman lebih suka berjalan-jalan bersama Misato dari Mommynya sendiri... 😝
Bergambar di hadapan Malaychan Restaurant bersama pelajar dari Malaysia yang bekerja sambilan di situ.
Begitulah berakhirnya hari pertama kami di Tokyo. Walaupun hujan hampir separuh hari, walaupun kebasahan dek tempias hujan, kami tetap gembira. Dan tentunya kami lebih gembira untuk melalui hari esok.
No comments:
Post a Comment